Ada yang mengatakan: “Mimpi itu mainan tidur…”
Ada pula yang mengatakan: “Eleh, mimpi je tu, jangan percayalah…”
Ada
juga yang terlalu taksub dengan mimpi, asalkan bermimpi, mesti dicari
Kitab “Tafsir” khas atau merujuk ramai manusia, bagi mendapatkan petanda
di sebalik mimpi misteri yang terus menyelubungi dirinya…
Bahkan,
ada yang ketakutan (fobia), kebimbangan dan kerunsingan dengan mimpi
yang berulang-ulang kali atau bersambung-sambung yang mana sering
bermain-main ketika tidurnya, bagaikan satu paparan filem ditayangkan
secara bersiri-siri...
Dan banyak lagi situasi misteri mimpi yang sukar untuk ditafsirkan oleh
orang kebanyakan seperti kita pada masa kini, lainlah jika pada zaman
Nabi Yusuf A.S yang diberi mukjizat khas mampu menta’bir (mentafsir)
mimpi. Jika adapun pada zaman serba moden ini, sukar untuk dibezakan
antara yang benar-benar boleh dipercayai atau sekadar main-main
(membohongi tanpa disedari).
Justeru,
di kesempatan ini, penulis membentangkan hasil pencarian artikel dan
sedikit kajian pandangan yang diutarakan tentang “MIMPI MENURUT ISLAM”.
Di bawah ini merupakan hasil pencarian dan kajian yang dijalankan, yang
mana bukanlah sepenuhnya ditulis oleh penulis sendiri, tetapi penulis
bersetuju dan cenderung kepada pemahaman ini kerana diterangkan secara
ilmiah dengan dalil-dalil hadis-hadis bertaraf sahih yang tidak diragui
lagi, serta beberapa pandangan ulamak-ulamak yang menerangkan
dalil-dalil tersebut. Semoga bermanfaat.
HADIS PERTAMA:
"Apabila
salah seorang dari kamu melihat mimpi yg disukainya, sesungguhnya ia
daripada Allah, maka khabarkanlah kpd org lain, dan sekiranya dia
melihat sebaliknya dari apa yg dibencinya, sesungguhnya ia daripada
Syaitan, maka beristi'azahlah (mmbaca AUZUBILLAHI MINAS SYAITONIR
RAJIM), dan janganlah menceritakan kpd org, tiadalah ia (mimpi) dapat
memudaratkannya.."
(Sahih Al-Bukhari dan Muslim, Lafaz hadith adalah bagi Al-Bukhari)
HADIS KEDUA:
“Apabila
telah menghampiri zaman (kiamat), mimpi seseorang yang beriman itu
hampir-hampir tidak dusta, dan yang paling benar mimpinya dikalangan
kamu ialah orang yang paling benar percakapannya. Dan mimpi orang Muslim
(yg sentiasa bercakap benar) itu adalah sebahagian daripada 45 bahagian
kenabian. Mimpi itu ada 3: Mimpi yang baik, khabar gembira daripada
Allah, mimpi kesedihan/kebimbangan daripada Syaitan dan mimpi dari
perkara yang dilaluinya sendiri (terkesan dari apa yg terjadi pada
dirinya). Maka apabila seseorang dari kamu melihat apa yang tidak
disukainya, maka hendaklah dia bangun dan menunaikan solat, dan jangan
dia ceritakan kepada orang lain.
(Sahih Muslim, dan lain-lain)
HADIS KETIGA:
“Tidak
akan kekal dari kenabian melainkan al-Mubassyiraat (perkara-perkara yg
menggembirakan), para sahabat bertanya: apakah mubassyiraat itu, Jawab
baginda: Mimpi yang benar.”
(Sahih Al-Bukhari)
Al-Imam Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadith ini menyertakan sama sebuah hadith bagi Abu Ya’la daripada Anas bin Malik:
“Sesungguhnya
risalah dan kenabian itu telah terhenti, tidak ada nabi lagi dan tidak
ada rasul lagi selepas-ku, akan tetapi akan kekal al-Mubassyiraat.
Sahabat bertanya: Apakah al-Mubassyiraat itu?” Jawab baginda: Mimpi
orang muslim satu bahagian daripada bahagian-bahagian kenabian.”
Ibn al-Tiin (اِبْن التِّين)
berkata: “Maksud hadith ini ialah bahawasanya wahyu akan terhenti
dengan kematian-ku (Nabi saw), dan tidak akan kekal apa yang diketahui
daripadanya apa yang akan berlaku, melainkan mimpi.”
Al-Syeikh Masyhur Hasan Salman pula berkata tentang hadith ini (http://www.almenhaj.net/) ketika ditanya dengan soalan:
“Apakah maksud hadith: “Mimpi yang benar itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian?”
Jawapan beliau:
“Hadith
ini mempunyai dua maksud. Maksud yang aku lihat lebih benar dan yang
masyhur, dan yang ditarjihkan oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam al-fath
ialah, tentang tempoh kenabian (Nabi saw) iaitu selama 23 tahun, tempoh
penurunan wahyu kepada Nabi saw melalui mimpi yang benar selama 6 bulan.
Maka hadith itu menceritakan nisbah mimpi yang benar dari
bahagian-bahagian kenabian menyamai 1 dari 46 (bahagian). Inilah
pendapat yang lebih benar, lebih zahir dan lebih selamat. "
LAFAZ HADIS TELAH DIPASTIKAN DENGAN MENGGUNAKAN MAKTABAH SYAMILAH V3.4
PENERANGAN HADIS-HADIS DI ATAS ADALAH DARI LINK DI BAWAH
ARTIKEL: TIADA SYARIAT BARU SELEPAS WAFAT NABI
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Kaedah
golongan ajaran sesat beroperasi untuk mencari pengaruh di
tengah-tengah masyarakat ialah dengan menggembar-gemburkan kehebatan
tuan guru yang mengetuai gerakan mereka. Untuk meyakinkan orang ramai
mengenai ajaran itu, mereka akan mendakwa bahawa tuan guru itu belajar
secara terus daripada Nabi SAW atau wali tertentu menerusi mimpi.
Justeru tiada yang perlu dikhuatiri sekiranya ajaran mereka dilihat
berbeza dengan apa yang terdapat di dalam kitab fekah yang lazimnya
menjadi rujukan kerana ajaran atau amalan mereka ini di dapati secara
terus daripada Rasulullah SAW. Bolehkah kita menerima dakwaan bahawa
setelah wafatnya Rasulullah masih tersisa ajaran baru yang hendak
disampaikan pada umatnya menerusi mimpi?
Bagi
Ahlus Sunnah wal Jamaah mimpi itu pada dasarnya terdapat tiga jenis
sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Mimpi itu tiga jenis, iaitu mimpi
yang benar berbentuk khabar gembira daripada Allah; mimpi sedih daripada
syaitan dan mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang.” (Hadis Imam
Muslim).
Mimpi
dari syaitan dan mainan jiwa sememangnya tiada memberi sebarang erti,
namun bagi mimpi yang berbentuk khabar gembira daripada Allah, ia mimpi
benar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Nabi
SAW bersabda, “Tiada lagi kenabian setelah aku kecuali al-Mubasysyiraat
(berita yang menggembirakan).” Sahabat bertanya apakah yang dimaksudkan
al-Mubasysyiraat? Sabda Nabi, “Mimpi yang benar yang dimimpikan oleh
orang soleh” (Hadis Imam al-Bukhari).
Ada
yang menjadikan hadis ini sebagai bukti bahawa mimpi guru atau syeikh
mereka boleh dijadikan dalil dalam membawa ajaran baru.
Namun
sebenarnya al-Mubasysyiraat atau mimpi benar adalah berupa khabar
gembira daripada Allah bagi hamba-Nya dengan memberi gambaran perkara
baik yang bakal berlaku. Mimpi benar ini akan menjadi kenyataan dalam
hidup seseorang itu. Mimpi benar juga boleh terjadi dalam bentuk
peringatan terhadap hambanya mengenai perkara buruk yang bakal berlaku
agar dia boleh berusaha untuk mengelaknya dari terjadi ataupun berbentuk
amaran supaya jangan melakukan sesuatu maksiat.
Inilah
lapangan skop mimpi benar dan ia tidak lebih dari itu. Al-Mubasysyiraat
bukan bertujuan untuk menggubal hukum baru kerana segala ajaran
mengenai Islam ini sudah sempurna sebelum Rasulullah wafat. Allah SWT
memerintahkan Rasulullah menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya
kepada seluruh umat manusia.
Firman-Nya:
“Wahai Rasulullah! Sampaikan apa yang diturunkan kepadamu daripada
Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan
semuanya), bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah
jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya
Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Maaidah: 67)
Rasulullah
sebagai seorang yang maksum pasti melaksanakan perintah Allah itu.
Sebelum Baginda wafat, Allah SWT menyempurnakan agama Islam sehingga
tidak lagi memerlukan apa-apa bentuk penambahan menerusi mimpi.
Mimpi
bertemu dengan Nabi SAW juga sebahagian daripada al-Mubasysyiraat yang
terjadi kepada sesetengah manusia yang beruntung. Nabi bersabda,
“Sesiapa melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku
secara benar. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku. Sesiapa
yang berdusta atas namaku secara sengaja maka dia telah mengambil tempat
duduk dalam neraka.” (Hadis Imam al-Bukhari)
Menerusi
hadis di atas dapat kita fahami bahawa seseorang itu hanya dianggap
benar-benar bertemu Rasulullah di dalam mimpi sekiranya paras rupa
Rasulullah yang ditemuinya itu sesuai dengan sebagaimana yang
digambarkan di dalam hadis sahih. Telah menjadi amalan umat Islam
terdahulu (generasi salaf) apabila seseorang mengaku bertemu Nabi, dia
dikehendaki untuk memberikan gambaran paras rupanya dalam mimpi itu.
Ibnu
Sirin umpamanya akan bertanya kepada seseorang yang mengaku bertemu
Nabi SAW dalam mimpi: “Ceritakan kepadaku apa yang anda lihat.”
Sekiranya diceritakan kepada beliau sifat Rasulullah SAW yang tidak
diketahuinya, beliau akan menegaskan: “Anda sebenarnya tidak bermimpi
bertemu dengan Baginda SAW.” Ini adalah kerana syaitan hanya tidak boleh
menyerupai paras rupa sebenar Nabi SAW, namun syaitan boleh yang
menyerupai insan lain tetapi mengaku sebagai Nabi lalu mengelirukan
orang yang bermimpi tadi dengan perkara yang bercanggah dengan syarak.
Seterusnya
kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah itu tetap perlu
dipertimbangkan dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah. Jika bertepatan ia
boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap perkara
yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Mimpi hanya untuk
menggembirakan atau menjinakkan hati saja.
Menurut
Dr Yusuf al-Qaradhawi lagi, “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan
(taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah
sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut,
bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa mimpi di dalam tidur setelah
kewafatannya.”
Terdapat
juga kelompok tertentu yang mendakwa bahawa ajaran mereka ini diambil
oleh tuan guru mereka daripada Rasulullah SAW dalam keadaan sedar atau
terjaga. Mereka berhujah dengan sebuah riwayat yang mana Nabi SAW
bersabda, “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku
dalam keadaan terjaga dan syaitan tidak mampu menyerupaiku.” (Hadis
al-Bukhari).
Walaupun hadis ini sahih namun tafsiran mereka terhadapnya tidak benar.
Rasulullah
SAW wafat sebagaimana manusia lain. Firman Allah, “Sesungguhnya kamu
akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian
sesungguhnya kamu pada hari Kiamat akan berbantah-bantah di hadapan
Tuhanmu.” (al-Zumar: 30-31). Baginda hanya akan dibangkitkan semula di
alam akhirat setelah terjadinya kiamat.
Maka
tiada nas yang menunjukkan bahawa Baginda boleh bangkit di dunia dan
boleh bertemu dengan seseorang secara fizikal dan mengajar mereka ajaran
Islam. Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menempelak dakwaan golongan yang
mengaku bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan sedar menerusi kitabnya
Fathul Baari.
Menurut
beliau, “Hal ini begitu aneh. Jika dimaksudkan (pertemuan itu) secara
zahir maka mereka (yang mendakwa bertemu Nabi secara sedar) itu boleh
dianggap sahabat Nabi, sedangkan tidak mungkin sahabat Nabi itu akan ada
terus menerus sehingga hari kiamat.”
Mengenai
maksud sebenar ‘maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga’, Imam
al-Nawawi memberikan tiga pendapat: Pertama, ia berkaitan dengan mereka
yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Oleh itu sesiapa yang bermimpi
bertemu dengan Nabi sedangkan dia belum berhijrah maka Allah akan
memberi taufik kepadanya untuk berhijrah dan bertemu dengan Nabi secara
zahir. Kedua, dia akan melihat kenyataan mimpinya itu dalam keadaan
terjaga pada hari kiamat, kerana semua umat Baginda akan melihatnya pada
hari kiamat. Ketiga, dia akan melihat Nabi pada hari akhirat secara
khusus dalam keadaan dekat dan mendapat syafaat daripadanya.
Allah
menyempurnakan syariat agama Islam dengan penurunan wahyu kepada Nabi
ketika hayat Baginda. Kesempurnaan syariat agama Islam ini diakui
sendiri Allah melalui firman-Nya, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan
bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku
telah reda Islam menjadi agama kamu”. (al-Maaidah: 3) Sempurna dalam
ayat ini bererti ia sudah lengkap. Sekiranya agama itu sempurna, mengapa
kita masih memerlukan mimpi untuk dijadikan perantaraan bagi menerima
amalan baru yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para
salafussoleh (ulama terdahulu)?
Justeru,
mereka yang mendakwa sesuatu ajaran baru itu masih boleh diterima
menerusi mimpi hanya mencerminkan gambaran pemikiran mereka yang
menganggap Islam ini belum sempurna sehingga memerlukan ritual baru.
Sungguh rosak pemikiran berkenaan.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment