Bagaimanakah kita hendak menjadi
seorang Muslim yang sebenar? Ini memerlukan satu penelitian yang teliti
dan butir-butir yang terang.
Sekarang mari kita tumpukan pemikiran kita untuk memahami apakah erti perkataan ‘Muslim’ itu. Adakah manusia menjadi Islam kerana ia dilahirkan dalam Islam? Adakah Muslim itu nama bagi sesuatu bangsa?
Adakah seseorang itu menjadi
Muslim dengan sebab ia adalah anak atau cucu bagi seorang Muslim? Adakah
seseorang itu diperanakkan sebagai Muslim sebagaimana seorang anak
Hindu diperanakkan sebagai Hindu? Adakah Muslim ini nama sesuatu kasta
atau kelas seperti yang terdapat pada orang-orang Hindu? Adakah kita
Muslim sebab kita dilahirkan di dalam masyarakat yang dipanggil
masyarakat Muslim? Apakah jawaban kita? Jawaban kita sudah tentu tidak.
Orang yang sedemikian bukanlah Muslim yang sebenarnya. Seseorang itu
Muslim sebab ia menerima Islam. Kalau ia menolak Islam, ia bukan lagi
Muslim. Samada seseorang itu orang Brahmin, atau Inggeris, atau Negro
atau Cina, atau apa-apa bangsa sekali pun, ia akan diterima masuk ke
dalam kumpulan masyarakat Islam bila ia menerima dan mengakui akan
Islam. Akan tetapi, seseorang itu akan disingkirkan daripada masyarakat
Islam apabila ia menolak dan menidakkan Islam walaupun ia adalah anak
seorang alim ulama ataupun ustaz
Sekarang fahamlah kita bahawa
nikmat serta kurnia terbesar Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kepada kita
ialah Islam. Ia bukanlah sampai kepada kita atas sebab keturunan atau
bangsa. Ia bukanlah suatu benda yang secara spontan sahaja berada pada
kita samada kita ambil peduli atau tidak. Islam adalah suatu nikmat yang
kita perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Jika kita berusaha
bertungkus-lumus untuk mendapatkannya, kita akan layak menerimanya. Akan
tetapi, jika kita tidak memperdulikannya, maka nikmat yang paling
berharga ini adakan ditarik balik daripada kita. Na’uzubilla
himinzalik-Semoga Allah menjauhkan hal demikian daripada kita.
Erti menerima Islam
Kita semua sekarang sudah tahu
bahawa seseorang itu Muslim bila ia menerima Islam. Walaubagaimanapun,
satu tanda tanya timbul di kepala kita. Apakah erti menerima Islam itu?
Bagaimanakah kita boleh dianggap atau dikatakan telah menerima Islam?
Memadaikah kita ini dikatakan menerima Islam dengan hanya berkata: “Saya
telah menjadi seorang Islam atau saya telah menerima Islam?”
Adakah seseorang itu dikatakan
menerima Islam bila ia boleh melafazkan beberapa patah perkataan Arab
tanpa memahami maksudnya sebagaimana seorang Hindu membaca beberapa ayat
mentera Sanskrit yang dia sendiri tidak mengerti? Jawapan kita sudah
tentu begini: “Seseorang itu dikatakan menerima Islam apabila ia
menerima keIslamannya itu dengan sedar (siuman) dan sengaja (tanpa
paksaan) dan beramal serta bertindak sesuai dengan kehendak Islam itu
sendiri.”
Apakah itu KUFUR dan apakah itu ISLAM ?
Kufur bererti keengganan manusia
untuk melaksanakan perintah-perintah Allah. Islam bererti ketaatan
kepada Allah sahaja. Islam bererti keengganan kita untuk mengakui
(menerima) segala cara-cara (sistem-sistem), undang-undang serta
peraturan-peraturan yang bertentangan dengan panduan-panduan Allah.
Perbezaaan Islam dan Kufur ini telah diterangkan di dalam al Quran.
Firman Allah :
“ Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
(Al-Maaidah : 44)
Memutuskan sesuatu atau
menghakimkan sesuatu, tidak semestinya dilakukan (dengan berpandukan
Kitabullah) terhadap kes-kes dimahkamah sahaja. Sebenarnya hal ini
dilakukan pada setiap kali seorang itu perlu membuat keputusan. Juga
pada setiap ketika di dalam hidup seseorang itu yang memerlukan
perlaksanaan sesuatu keputusan.
Kerap kali timbul keadaan di
mana kita terpaksa membuat keputusan samada hendak melaksanakan sesuatu
perkara atau tidak ? Kadang-kadang kita juga terpaksa memikirkan cara
bagaimana sesuatu perkara itu patut dijalankan. Juga kadangkala timbul
persoalan samada hendak menggunakan cara ini atau cara yang itu bagi
menyelesaikan sesuatu perkara. Cara untuk kita mencapai suatu keputusan
di dalam semua keadaan tadi telah termaktub di dalm Kitabullah (iaitu Al
Quran) dan sunnah Rasulullah SAW. Cara yang lain dari cara tersebut
ialah cara yang hanya digerakkan oleh nafsu tamak, adat turun temurun
(ancenstral customs) atau undang-undang buatan manusia. Kalau seseorang
itu mengenepikan cara (sistem) yang telah disarankan oleh Allah SWT
dengan mengambil cara yang lain untuk tindakannya, maka sebenarnya ia
sedang mengikuti jalan (wasilah) kekufuran.
Jika ia mengambil jalan
kekufuran tadi untuk keseluruhan hidupnya, maka ia adalah kafir yang
sepenuhnya. Jika ia mentaati panduan-panduan Allah dalam menyelesaikan
beberapa perkara akan tetapi di dalam beberapa perkara yang lain kita
memberi keutamaan kepada nafsu kita atau kepada adat-adat jahiliyyah
kuno atau kepada undang-undang buatan manusia untuk menyelesaikannya,
maka ini bermakna kita telah melibatkan diri kita ke dalam kancah
kekufuran pada peringkat seorang penderhaka. Seseorang boleh menjadi
kafir separuh (1/2) atau satu suku (1/4) atau satu persepuluh (1/10)
atau satu perduapuluh (1/20). Ringkasnya, kekufuran itu dikira mengikut
sejauhmana ia telah menderhaka terhadap undang-undang atau peraturan
Allah.
Islam ialah perhambaan
(sepenuhnya) manusia terhadap Allah SWT. Ini bermakna ia tidak menjadi
hamba kepada dirinya; nenek moyangnya; atau keluarganya; dan bangsanya;
atau tuan guru dan ulamaknya; atau tuan tanah dan tuan hakimnya dan tuan
pemungut cukainya. Ianya adalah perhambaan kepada Allah SWT sahaja.
No comments:
Post a Comment